Pages

Friday, April 8, 2011

RENUNGKAN BERSAMA WAHAI WARGA LD YANG TERCINTA....


*Pesanan : Belajarlah menghabiskan pembacaan sehingga titik akhir. Itu ciri manusia berguna. Gambaran Hari Kiamat ✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali I...zrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri. ✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati. ✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

 ✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih. ✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak. ✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka. 

✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat. ✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan. ✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun. ✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga. 

✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah: ⅰ- Pemimpin yang adil. ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah. ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid. ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah. ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”. ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai). ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah. 

✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan. ✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda. ✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi. 

✐ ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat. ✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana. ✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.

 ✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan. ✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah. ✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin. ✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa. ✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab. 

✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang. ✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana. ✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat. 

✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat : ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab. ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab. ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka. (Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.) ✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain. ✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya. 

✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya. ✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

 Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004. ☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama : ① Sedekah/amal jariahnya. ② Doa anak²nya yang soleh. ③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain. sumber: Amar S

Thursday, April 7, 2011

Adab Terhadap Ibu Bapa

Firman Allah SWT;

“ Dan Kami telah memerintahkan manusia supaya berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapanya …  ”  (Al-Ankabut ayat 8 ) 
Sabda Nabi SAW;

“ Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya : “ Saya telah bertanya kepada Nabi SAW : “ Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah ? ” Baginda menjawab : “ Sembahyang dalam waktunya. ” Beliau bertanya lagi : “ Kemudian amalan manakah pula? ” Baginda menjawab: “ Kemudian berbakti kepada ibubapa. ” Beliau bertanya lagi: “ Kemudian amalan manakah pula? ” Baginda menjawab: “ Berjihad di jalan Allah. ” Beliau berkata lagi: “ Baginda SAW telah berbicara kepada saya tentang semua itu. Seandainya saya meminta Baginda SAW menambah lagi, pasti Baginda SAW menambah untuk saya. ” [Hadis riwayat Bukhari]

Hukum berbakti kepada ibubapa

Berbakti kepada ibubapa dan menghubungkan silaturrahim adalah wajib. Al-Birr (berbuat kebaikan/ berbakti) ialah melakukan segala kebaikan yang boleh membawa pembuatnya ke syurga.

Sebab turun ayat 8 Surah Al-Ankabut

Imam Ahmad, Muslim dan at-Tirmizi meriwayatkan:

Ibu Sa’ad bin Abi Waqqas r.a. – iaitu Hamnah binti Sufyan bin Umayyah. Ibu beliau merupakan sepupu kepada Abu Sufyan bin Umayyah – telah bersumpah tidak akan bercakap dengan Sa’ad r.a. selama-lamanya, sehingga beliau kufur dengan agamanya (agama Islam). Ibunya juga berkata kepada beliau: “ Kamu pernah mendakwa bahawa Allah telah menyuruh kamu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapa kamu. Aku ini adalah ibumu. Aku menyuruhmu dengan perkara ini ( iaitu keluar dari Islam). ” Lalu turunlah ayat 8 Surah Al-Ankabut ( Dan Kami telah memerintahkan manusia supaya berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapanya… )

Pelengkap ayat di atas dalam Surah Al-Ankabut ialah:

… Jika mereka berdua bersungguh-sungguh mendesak kamu supaya mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah kamu taat kepada mereka. Hanya kepada-Ku tempat kembali kamu semuanya. Kemudian Aku akan memberitahu kamu tentang segala apa yang kamu kerjakan (di dunia dahulu). [Al-Ankabut Ayat 8]

Huraian Hadis Abdullah bin Mas’ud r.a.

Abdullah bin Mas’ud salah seorang ulama fiqh di kalangan para sahabat r.anhum. Beliau telah menyertai Perang Badar dan semua perang lain bersama Nabi SAW.

“ Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya : “ Saya telah bertanya kepada Nabi SAW : “ Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah ? ” Baginda menjawab : “ Sembahyang dalam waktunya. ”

Maksudnya : Mengerjakan solat dalam waktunya secara tunai, bukan qadha di luar waktunya. Mengerjakan solat pada awal waktu lebih baik dan mulia, berdasarkan hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan al-Hakim daripada Ummu Farwah r.anha. bahawa Rasul Allah SAW telah bersabda :

“ Amalan yang paling mulia ialah solat pada awal waktunya”.

Beliau bertanya lagi : “ Kemudian amalan manakah pula? ” Baginda menjawab: “ Kemudian berbakti kepada ibubapa. ”

Abdullah bin Mas’ud bertanya lagi, kemudian Nabi SAW memerintahkan supaya berbakti kepada kedua ibu bapa. Maksudnya berbuat baik, melakukan perkara yang elok kepada mereka dan membuat perkara yang menggembirakan mereka seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Ankabut ayat 8.

Syarat Ketaatan

Ayat dan hadis ini berpesan tentang hak kedua ibu bapa, dan memerintahkan supaya taat kepada mereka, sekalipun mereka kafir. Tetapi jika mereka menyuruh anak mereka supaya syirik kepada Allah Ta’ala, sebagaimana tindakan ibu Sa’ad kepada Sa’ad, maka wajiblah menderhaka mereka dalam hal tersebut.

Dalam ayat ini terdapat penjelasan tentang perkara yang mujmal (tidak dijelaskan), lalu ia dijelaskan oleh Hadis Nabi SAW ini;

Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Nasaie meriwayatkan daripada Ali r.a. bahawa Rasul Allah SAW telah bersabda:

“Tidak harus taat kepada sesiapa pun dalam menderhaka Allah. Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah dalam melakukan perkara baik. ”

Imam Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan daripada Imran dan Al-Hakam bin Umar Al-Ghifari r.anhuma. bahawa Rasul Allah SAW bersabda:

“ Tidak harus taat kepada mana-mana makhluk dalam menderhakai Tuhan yang Maha Mencipta. ”

Wassalam.

Susunan: Mohammad Fikri bin Mohammad Nasri, Universiti Mohammad V, Rabat Agdal, Kingdom Of Morocco.

Sumber- Kitab Al-Muntakhab, Hadis Bab Adab dalam Sahih Bukhari

Adab Membaca Al-Quran


WAJIB bagi kita menghalalkan apa yang dihalalkan al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkannya. Diwajibkan pula beradab dengannya dan berakhlak terhadapnya.

Ketika membaca al-Quran, seorang Muslim perlu memperhatikan adab berikut untuk mendapatkan kesempurnaan pahala dalam membacanya.

Membacanya dalam keadaan sempurna, suci daripada najis dan dengan duduk yang sopan dan tenang. Dianjurkan agar pembaca berada dalam keadaan suci.
Imam Haromain berkata: "Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan najis, dia tidak dikatakan mengerjakan hal yang makruh akan tetapi dia meninggalkan sesuatu utama".

- Membacanya dengan perlahan (tartil) dan tidak cepat agar dapat menghayati ayat yang dibaca.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Siapa saja yang membaca al-Quran (khatam) kurang dari tiga hari, bererti dia tidak memahami.” (Hadis Riwayat: Ahmad dan penyusun Kitab Sunan)

Sebahagian kelompok daripada generasi pertama membenci pengkhataman al-Quran sehari semalam berdasarkan hadis di atas. Rasulullah memerintahkan Abdullah Ibnu Umar untuk mengkhatamkan al-Quran setiap satu minggu (tujuh hari) (Muttafaq Alaih). Ini dilakukan Abdullah bin Mas’ud, Uthman bin Affan, Zaid bin Tsabit. Mereka mengkhatamkan al-Quran sekali dalam seminggu.

- Membaca al-Quran secara khusyuk dengan menangis kerana sentuhan pengaruh ayat yang dibaca yang menyentuh jiwa dan perasaan.
Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran dan menangislah, apabila kamu tidak menangis maka usahakan menangis kerana ayat yang engkau baca.” (Hadis Riwayat: Al-Bazzar)

Allah s.w.t juga menjelaskan sebahagian daripada sifat hamba-Nya yang soleh dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.” (Surah Al-Isra’: Ayat 109)

- Membaguskan suara membacanya, sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Hiasilah al-Quran dengan suaramu.” (Hadis Riwayat: Ahmad, Ibnu Majah & Al-Hakim). Dalam hadis lain dijelaskan: “Tidak termasuk umatku orang yang tidak melagukan al-Quran.” (Hadis Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim)

Maksud hadis di atas ialah membaca al-Quran dengan susunan bacaan yang jelas dan terang makhroj hurufnya, panjang pendeknya bacaan, tidak sampai keluar daripada ketentuan kaedah Tajwid.

- Membaca al-Quran dimulai dengan isti’adzah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bila kamu akan membaca al-Quran, maka mintalah perlindungan kepada Allah daripada (godaan-godaan) syaitan yang terkutuk.” (Surah An-Nahl: Ayat 98)

- Apabila ayat yang dibaca dimulai dari awal surah, selepas isti’adzah terus membaca Basmalah dan apabila tidak di awal surah cukup membaca isti’adzah. Khusus untuk surat At-Taubah, walaupun dibaca mulai awal surat tidak perlu membaca Basmalah. Cukup dengan membaca isti’adzah saja.

- Membaca al-Quran dengan berusaha mengetahui ertinya dan memahami inti daripada ayat yang dibaca dengan beberapa kandungan ilmu yang ada di dalamnya. Firman Allah bermaksud: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran, ataukah hati mereka terkunci?” (Surah Muhammad: Ayat 24)

- Membaca al-Quran dengan tidak mengganggu orang sedang solat, dan tidak perlu membacanya dengan suara yang terlalu keras atau di tempat yang banyak orang. Bacalah dengan suara atau dalam hati secara khusyuk. Rasulullah bersabda bermaksud: “Orang yang terang-terangan (di tempat orang banyak) membaca al-Quran, sama dengan orang yang terang-terangan dalam sedekah.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Nasa’i, dan Ahmad)

Dalam hadis lain dijelaskan: “Ingatlah bahawa setiap hari dari kamu munajat kepada Rabbnya, maka janganlah salah satu daripada kamu mengganggu yang lain, dan salah satu daripada kamu tidak boleh mengangkat suara atas yang lain di dalam membaca (al-Qur'an).” (Hadis Riwayat: Abu Dawud, Nasa'i, Baihaqi dan Hakim)

Jangan jadikan ibadah yang kita lakukan sia-sia kerana kita tidak mengendahkan sunnah Rasulullah dalam melaksanakan ibadah membaca al-Quran.

Misalnya, membaca dengan suara keras pada larut malam, yang akhirnya mengganggu orang yang istirahat dan solat malam.

- Dengarlah bacaan al-Quran. Jika ada yang membaca al-Quran, maka dengarlah bacaannya itu dengan tenang. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tatkala dibacakan al-Quran, maka dengarlah dan diamlah, semoga kamu diberi rahmat.” (Surah Al-A’raaf: Ayat 204)

- Membaca dengan saling bergantian. Membaca al-Quran, boleh dilakukan secara bergantian dan yang mendengarnya haruslah dengan khusyuk dan tenang. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah berkumpul suatu kaum di dalam rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan turun atas mereka ketenangan dan mereka diliputi oleh rahmat (Allah), malaikat menyertai mereka, dan Allah membanggakan mereka di kalangan (malaikat) yang ada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat: Abu Dawud)


- Melakukan sujud Tilawah (sujud Sajdah) pada saat selesai membaca ayat Sajdah, pada bila-bila masa saja, baik siang ataupun malam, jika pembacanya belum batal daripada wuduk. Tatacara pelaksanaannya dimulai daripada takbir, lalu sujud, kemudian membaca “Subhaana Rabbiyal A’laa”' (Maha Suci Rabb-ku Yang Maha Tinggi), lalu dilanjutkan dengan doa sujud Tilawah. Selepas itu bangkit daripada sujud tanpa takbir dan salam, kerana tidak ada riwayat daripada Nabi s.a.w mengenai hal itu, kecuali jika sujud Tilawah itu dilakukan di tengah-tengah pelaksanaan solat, maka ia bertakbir ketika sujud dan bangkit daripada sujud.

- Berdoa selepas membaca al-Quran. Dalam sebuah riwayat dijelaskan, bahawa sahabat apabila khatam membaca al-Quran, mereka berkumpul untuk berdoa dan mengucapkan: “Semoga rahmat turun atas selesainya membaca al-Quran.”

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a dijelaskan bahawa apabila dia sudah khatam membaca Al-Quran, dia mengumpulkan keluarganya dan berdoa. (Hadis Riwayat: Abu Dawud)

Setiap orang Islam wajib mengatur hidupnya sesuai dengan tuntutan al-Quran. Ia harus dipelihara kesucian dan kemuliaannya, serta dipelajari dan difahami ayat-ayatnya.

Pelaksanaan ini adalah sebagai tanda kita beriman kepada al-Quran.

Wednesday, April 6, 2011

Umat Islam mampu ulang zaman gemilang

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
Perpecahan kuasa Barat harus jadi iktibar pemimpin kembalikan tamadun, bina sahsiah ummah
ORANG yang beriman dan beramal soleh dijanjikan kekuasaan oleh Allah SWT untuk mentadbir bumi dan seluruh isinya. Janji Allah ini memberi keyakinan kepada umat Islam bahawa mereka mampu mengulangi kegemilangan Islam suatu waktu dulu melalui pelbagai cara. Antaranya, meluaskan wilayah pemerintahan pemimpin Islam seluruh dunia.
Dalam Surah An-Nur, ayat 55 Allah berfirman maksudnya: “Allah telah berjanji kepada orang yang beriman dan beramal soleh, bahawa Dia benar-benar akan memberikan kekuasaan daripada mereka di muka bumi. Seperti yang telah Dia berikan kepada orang sebelum mereka (khalifah terdahulu). Dia juga (berjanji) akan benar menguatkan untuk mereka agama mereka, yang diredhai. Serta (berjanji) akan benar-benar menukar ketakutan mereka dengan kedamaian. Mereka (adalah orang yang sentiasa) menyembahKu, tidak menyekutukan Aku dengan apa-apa jua. Dan sesiapa saja yang masih ingkar setelah janji itu, maka mereka itulah orang yang fasik.”
Pemimpin Islam harus mengambil peluang daripada keretakan kuasa sekular untuk menguasai dunia dengan ekonomi seperti yang pernah dilakukan pemimpin Islam terdahulu. Kuasa Barat hari ini yang gagal bersatu di bawah satu pemerintahan dan berperang sesama sendiri menunjukkan kelemahan yang akhirnya tidak langsung membawa kecemerlangan kepada sesuatu bangsa. Hakikat ini sepatutnya menjadi iktibar kepada umat Islam bahawa perpecahan kerana ideologi hanya memberi kepuasan hati, bukan manfaat kepada duniawi.
Umat Islam banyak menerokai pelbagai bidang ilmu termasuk sains dan teknologi sebelum Eropah yang ketika itu berada pada zaman ortodoks. Seluruh dunia mendapat manfaat daripada ilmu dan kebijaksanaan orang Islam yang merintis segala kepakaran yang memanfaatkan kehidupan insan. Teori kemanusiaan dan undang-undang yang dirangka bersumberkan al-Quran dan hadis tersebar melangkaui benua sehingga menjadi ikutan manusia seantero alam. Hari ini, tiada sebab umat Islam tidak melakukan perkara sama, apatah lagi mereka mendapat panduan daripada generasi yang lebih awal.
Islam menyediakan garis panduan untuk melahirkan ilmuwan hebat, pendakwah cekal, pedagang amanah, pentadbir yang gerun pembalasan akhirat, petani yang ikhlas kepada alam dan pengguna yang tidak membazir. Kurikulum yang dirangka bagi mentarbiyah umatnya amat sempurna dan tidak sukar, cuma terlalu banyak halangan dan dugaan yang perlu ditempuh. Jika beriltizam tinggi dan tekun, tiada sesiapa yang gagal.
Dalam bidang akademik contohnya, al-Khawarizmi adalah seorang ahli astronomi dan orang pertama menentukan ukuran dan bentuk bulatan bumi. Ibnu Sina pula pakar perubatan yang mahir dan penulis buku Al-Qanun fit-Tib yang mengandungi sejuta perkataan mengenai perubatan dan menjadi rujukan universiti seluruh dunia selama 600 tahun. Ibnu Sina juga pakar astronomi, fizik, kimia dan matematik.
Dari segi pembangunan fizikal, bangunan yang didirikan umat Islam, sistem jalan raya, saliran air dan sebagainya amat mengagumkan. Ini membuktikan kemajuan pesat telah bermula sejak dulu bahkan tiada kemajuan setanding dengannya pada ketika itu. Ini menunjukkan umat Islam mampu menjadi perintis kepakaran serta pemangkin kemajuan yang masih bertunjangkan syariat.
Selain itu, akhlak dan moral yang tinggi menyebabkan tidak banyak kes jenayah berlaku pada zaman kegemilangan Islam. Tambahan pula perundangan Islam yang bersifat mendidik dan mencegah mampu mentarbiyah umatnya menjauhi kemungkaran dan kezaliman. Sifat takwa dan kekuatan akidah mereka juga jawapan kepada pembinaan sahsiah luar biasa, yang sepatutnya dilakukan generasi masa kini. Tambahan pula peluang sentiasa tersedia kepada umat Islam terus cemerlang. Cuma malangnya tidak ramai menghargainya malah lupa kehidupan yang kekal sesudah mati.
Itulah umat Islam apabila mendapat kuasa daripada Allah untuk memimpin diri sendiri dan umat. Mereka harus menjadi orang yang terkehadapan, sentiasa memberi daripada menerima, sentiasa memimpin daripada dipimpin, sentiasa membantu daripada dibantu dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain, bukan sebaliknya. Janji Allah untuk memberi kekuasaan di bumi kepada orang beriman dan beramal soleh adalah benar seperti diberikan kepada khalifah terdahulu. Cuma rakyat yang dipimpin oleh khulafa’ adalah mereka yang benar-benar menyembah Allah, beriman dan bertakwa yang menjadikan pemimpin mereka tidak sukar menjalankan tanggungjawab dan amanah

Konsep ummi Nabi Muhammad s.a.w

Oleh DR. MOHD. FARID MOHD. SHARIF
SEBAHAGIAN besar sarjana Islam seperti al-Tabari, al-Razi dan al-Baydawi mengaitkan sifat ummi kepada Nabi Muhammad SAW dengan tujuan untuk membuktikan bahawa kitab al-Quran adalah wahyu Allah SWT yang bersifat mukjizat dan diturunkan kepada baginda SAW melalui perantaraan malaikat Jibril a.s.Malah, menurut pandangan Subhi Saleh, al-Quran itu adalah kalam Allah yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Jibril a.s., ditulis dalam beberapa mushaf, dipetik daripada riwayat yang mutawatir dan membacanya merupakan satu ibadat.
Berdasarkan fakta ini, Nabi Muhammad SAW umumnya dikenali sebagai seorang yang bersifat ummi.Menurut mereka, sifat ummi ini termasuk dalam salah satu mukjizat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW. Kerana belajar menulis atau membaca sebenarnya adalah merupakan satu proses yang tidak begitu sukar sehingga orang yang dianggap kurang pintar pun boleh mempelajarinya. Namun, orang yang langsung tidak belajar menulis atau membaca boleh dianggap mempunyai kelemahan yang besar dalam sudut kefahaman. Oleh itu, anugerah kekuatan akal dan kefahaman yang jitu terhadap ilmu seperti yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW boleh dikatakan sebagai satu mukjizat yang besar. Dilihat daripada sudut bahasa, perkataan ummi berasal daripada perkataan umm. Sarjana bahasa mempunyai pandangan yang berbeza tentang maksud ummi: golongan pertama mengatakan bahawa ummi bermaksud orang yang tidak tahu menulis atau membaca. Pandangan ini dikemukakan oleh Ibn Faris, Ibn Manzur, Abu Ishaq dan Ibn al-’Arabi.
Mereka percaya maksud ummi mempunyai kaitan dengan keadaan bayi yang tidak tahu apa-apa termasuklah menulis dan membaca semasa dilahirkan oleh ibunya. Pandangan ini diambil berdasarkan ayat 78 dalam surah al-Nahl, bermaksud: dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati. Golongan kedua mengatakan bahawa ummi bermaksud orang yang tidak tahu menulis atau membaca kitab.
Pandangan ini dinyatakan oleh al-Raghib berdasarkan hadis yang bermaksud: Kami ummah ummiyyah tidak menulis dan tiada bahan-bahan bertulis. (riwayat Bukhari). Golongan ketiga pula yang diwakili oleh al-Farra’, al-Zajjaj dan al-Zabidi mengatakan ummi bermaksud orang yang tidak mempelajari atau mempunyai sebarang kitab. Mereka mengemukakan ayat 157 dalam surah al-A’raaf sebagai sandaran iaitu: Orang-orang yang mengikut rasul, nabi yang ummi yang namanya tertulis di dalam Taurat dan Injil yang terdapat di sisi mereka. Pengarang Arabic-English Lexicon, E.W. Lane berpendapat, ummi berasal daripada perkataan ummah yang merujuk kepada bangsa Arab (gentile) dan juga merujuk kepada orang yang tidak mempunyai sebarang kitab.. Menurut beliau, perkataan ummi turut boleh digunakan kepada sesiapa sahaja yang berada dalam keadaan yang sama iaitu tidak tahu menulis dan membaca. Di dalam al-Quran, perkataan ummi disebut sebanyak enam kali. Dua kali disebut dalam bentuk kata tunggal iaitu ummi dan empat kali disebut dalam bentuk kata majmuk iaitu ummiyyun atau ummiyyin. Al-Quran menyebut perkataan ummi pada dua tempat iaitu ayat 157 dan 158 surah al-A’raaf.
Kedua-dua ayat ini merujuk khusus kepada Nabi SAW. Ada pun perkataan ummi dalam bentuk kata majmuk pula disebut pada ayat 78 surah al-Baqarah, ayat 20 dan 75 surah ali ‘Imran, dan ayat 2 surah al-Jumuah.Berdasarkan empat ayat al-Quran ini, ayat yang pertama merujuk kepada golongan Yahudi dan tiga ayat yang berikutnya merujuk kepada golongan Arab yang tidak mengikuti kitab-kitab samawi (heathen).Jika dilihat sudut masa penurunan ayat-ayat al-Quran itu pula, dua ayat dalam surah al-A’raaf di atas termasuk di dalam kategori ayat Makkiyyah. Empat ayat lagi yang merujuk kepada golongan Yahudi dan Arab termasuk di dalam kategori ayat Madaniyyah.Oleh itu, berdasarkan pembahagian ini sifat ummi boleh dilihat daripada dua zaman iaitu zaman sebelum Nabi Muhammad SAW menjadi nabi dan zaman selepasnya. Fakta yang mengatakan bahawa Nabi SAW sebelum menjadi nabi tidak tahu membaca dan menulis berdasarkan ayat 48 surah al-Ankabut: Dan kamu tidak pernah membaca sebelumnya sesuatu kitab pun dan kamu tidak pernah menulis suatu kitab dengan tangan kananmu. Andai kata kamu pernah membaca dan menulis, benar-benar ragulah orang yang mengingkarimu.Maksud ayat ini, Nabi SAW tidak pernah membaca dan menulis sebelum baginda diangkat menjadi nabi dan rasul. Ayat ini juga menjadi bukti al-Quran adalah mukjizat yang diturunkan kepada Nabi SAW, sekali gus menolak keraguan yang ditimbulkan oleh golongan ahli kitab dan musyrik Mekah. Dalam ayat yang lain, Nabi SAW menolak tuduhan golongan musyrik Mekah dengan berhujah: Jikalau Allah menghendaki, nescaya aku tidak membacakannya kepadamu dan Allah tidak pula memberitahukannya kepadamu. Sesungguhnya aku telah tinggal bersamamu beberapa lama sebelumnya, maka apakah kamu tidak memikirkannya? (Yunus: 16).Menurut al-Razi, tujuan ayat ini adalah menjelaskan bahawa golongan musyrik Mekah tahu Rasulullah yang tinggal di kota yang sama sememangnya tidak tahu membaca dan menulis dan tidak pernah mempelajari ilmu membaca dan menulis daripada sesiapapun.
Justifikasi lain adalah berdasarkan fakta sejarah. Sejarawan Islam telah mencatatkan bahawa proses keilmuan sudah bermula pada zaman sebelum kedatangan Islam lagi. Al-Baladhuri, misalannya menyebut bahawa kebanyakan orang Arab Hijaz tidak tahu membaca dan menulis. Beliau telah menyenaraikan seramai 17 lelaki dan tujuh wanita yang mahir dalam membaca dan menulis. Antaranya yang terkenal ialah seperti Umar b. al-Khattab, Ali b. Abi Talib, Uthman b. Affan, Mu’awiyah b. Abi Sufyan, Hafsah bt. Umar, Aishah bt. Abi Bakr dan Umm Salamah. Dalam Tabaqat Ibn Sa’d, terdapat beberapa lagi senarai nama sahabat yang tahu menulis dan membaca. Apabila meneliti tulisan dua sejarawan ini, tidak pula ditemui nama baginda SAW tercatat dalam senarai itu. Fakta menunjukkan Nabi SAW sesudah menjadi nabi boleh membaca dan menulis juga bersandarkan kepada ayat 48 surah al-Ankabut.
Sebahagian sarjana seperti al-Harawi, al-Naysaburi dan al-Sya’bi berpandangan, ayat itu bermaksud Nabi Muhammad SAW hanya tidak tahu membaca dan menulis sebelum menjadi nabi, tetapi selepas menjadi nabi, baginda SAW harus tahu membaca dan menulis. Hujah mereka adalah ayat penafian dalam ayat 48 surah al-Ankabut hanya bertujuan menolak keraguan orang musyrik Mekah tentang kenabiannya. Namun, sesudah baginda SAW dilantik menjadi nabi, isu ini sudah tidak lagi relevan. Oleh itu, berdasarkan pendapat ini, Nabi Muhammad SAW harus tahu membaca dan menulis melalui tunjuk ajar Malaikat Jibril a.s.Terdapat sarjana lain yang berpendapat kemahiran Nabi SAW dalam membaca dan menulis diperolehi tanpa mempelajarinya seperti orang lain dianggap satu mukjizat. Pendapat ini dikemukakan oleh al-Alusi, al-Baji dan Ibn Abi Syaibah. Mereka juga mengemukakan hadis untuk menyokong hal ini. Hadis itu bermaksud: “Nabi SAW tidak mati sehinggalah baginda tahu menulis dan membaca”. Kesimpulannya, perbincangan di atas bolehlah dibahagikan seperti berikut:
 lTerdapat pendapat yang mengatakan Nabi Muhammad SAW tetap ummi baik sebelum mahupun selepas menjadi nabi dan sifat ini tidak terjejas dengan kewujudan perkataan ‘sebelumnya’ dalam ayat 48 surah al-Ankabut.
*Ada pendapat mengatakan Nabi SAW tidak lagi ummi selepas menjadi nabi berdasarkan kewujudan perkataan yang sama dalam ayat yang sama;
*Sifat ummi sebelum kenabian ialah jelas dan sukar untuk dinafikan. Pendapat ini diambil berdasarkan nas dan fakta sejarah;
*Sifat ummi selepas kenabian itu yang menjadi polemik dalam kalangan para sarjana. Hal ini disebabkan oleh pemahaman mereka yang berbeza terhadap nas dan juga fakta sejarah.

Fatwa dan Hukum Menyambut April Fool

Dr. Yusuf al-Qardawi menyebut :
Menipu adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda : Orang munafik mempunyai tiga ciri : Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah. [HR al-Bukhari dan Muslim]
Rasulullah SAW memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan menghiburkan manusia. Baginda SAW bersabda: “Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]
Rasulullah SAW juga bersabda: “Seseorang itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat walaupun dia membawa kebenaran”. [HR Ahmad dan At-Thabrani]. Sebahagian hadis Nabi SAW turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” [HR Abu Daud]
Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang dalam apa bentuk pun. Sambutan April Fool adalah dilarang kerana 4 sebab :
1. Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
2. Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.
3. Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.
4. Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan.
Sheikh Atiyyah Saqr pula menyatakan :
Adalah menjadi kesepakatan kesemua agama dan akal yang waras bahawa kejujuran itu satu kebaikan, dan penipuan adalah lawannya. Untuk menyatakan kebenaran, kata-katamu hendaklah menerangkan realiti, sedangkan untuk menyatakan penipuan adalah dengan menyampaikan apa yang bercanggah dengan apa yang kamu katakan mahupun lakukan. Seburuk-buruk pendustaan adalah sumpah yang palsu, bahkan itu adalah satu bentuk kemunafikan.
Penipuan adalah dilarang kecuali ia dilakukan dalam keadaan darurat. Di dalam kes tersebut, kaedah “darurat menjadikan yang haram harus” digunakan. Darurat hanya boleh diambil apabila tiada pilihan lain. Salah satu bentuk penipuan yang dibenarkan ialah apa yang kita panggil sebagai helah, iaitu menggunakan perkataan yang membawa lebih daripada satu maksud. Umat Islam mungkin boleh mengambil pemahaman yang positif daripada penafsiran perkataan (yang mempunyai dua makna) tersebut.
Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan. Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik, walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Ummu Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi iaitu ketika perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan perbualan biasa antara suami isteri.” Apa yang dimaksudkan dengan perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di dalam kehidupan.
Sheikh Shalih Fauzan menyatakan :
Penipuan adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti mereka, sama ada pada hari April Fool, mahupun pada hari-hari yang lain. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”
Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, kita mendapati bahawa budaya April Fool jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umat Islam sentiasa bersifat jujur.

Friday, April 1, 2011

10 perkara yang tidak boleh di beli dengan wang

DUIT, di zaman materialistik sekarang ini, semua orang mahukan duit. Orang dewasa, remaja bahkan kanak-kanak kecil sekalipun kenal dengan sekeping kertas yang diberi nama “duit”. Memang duit penting dalam kehidupan, tanpa alat tukar ini kita tidak boleh memenuhi keperluan hidup. Duit membuatkan manusia melakukan perkara yang diharamkan, manusia menjadi rakus kerana duit, manusia pecah amanah, rasuah, merompak, melacur malah membunuh manusia lain kerana duit. Kejayaan orang di zaman kini juga diukur dengan banyaknya duitnya.

Tetapi walau bagaimana pentingnya duit, masih ada benda yang tidak boleh dibeli dengan duit.

1. Masa
Duit tidak akan dapat mengembalikan masa yang telah berlalu. Setelah hari berganti, maka masa 24jam tersebut akan hilang dan tidak akan mungkin akan kembali lagi. Oleh itu gunakan setiap kesempatan yang ada untuk menyatakan perhatian dan kasih sayang anda kepada orang yang sangat anda sayang dan anda cintai, sebelum waktu itu berlalu dan anda menyesalinya.Begitu juga dengan tanggungjawab dengan Allah, jika kita terlepas waktu Subuh pagi tadi, ia tidak dapat ditukar dengan berapa juta pun wang untuk kembali ke waktu Subuh tadi.

2. Kebahagiaan
Memang kedengaran pelik, tapi inilah kenyataannya. Duit memang boleh membuat anda merasa senang kerana anda boleh bercuti mewah, memberi laptop dengan kemudahan yang sangat canggih, atau membeli kereta dan rumah mewah 8 tingkat sekalipun. Tetapi duit tidak boleh menghadirkan sececah kebahagiaan dari dalam lubuk hati kita. Berapa ramai orang kaya yang tidak boleh tidur walaupun dalam aircond yang sejuk dan dalam bilik yang super mewah yang katilnya berharga berpuluh ribu ringgit.

3. Kebahagiaan Anak
Untuk membeli makanana dan pakaian yang bagus-bagus untuk anak tercinta memang memerlukan duit. Tetapi anda tidak boleh menggunakan wang untuk memberikan rasa aman, tanggungjawab, sikap yang baik serta kepandaian pada anak anda. Hal ini memerlukan waktu dan perhatian yang anda curahkan untuk mereka dan amalan baik yang anda ajarkan. Duit memang membantu kita memenuhi aspek penjagaan, tapi waktu telah membuktikan bahawa keperluan asas tiap anak adalah berapa banyak masa yang diberikan orangtuanya, bukan “duitnya”.

4. Cinta
Cinta tidak boleh dibeli dengan wang, akuilah hal ini benar. Memang dengan duit kita boleh membuat orang tertarik, tapi cinta berasal dari rasa saling menghargai, perhatian, berbagi pengalaman dan kesempatan untuk berkembang bersama. Itu sebabnya banyak pasangan yang berkahwin kerana duit, tidak bertahan lama atau pun tidak merasa bahagia.

5. Persahabatan
Untuk diterima oleh lingkungan pergaulan dengan sahabat, anda tak perlu duit. Apabila anda ingin diterima, fokuskan tenaga anda untuk membuat diri anda berharga bagi lingkungan sekitar dengan menjadi teman dalam suka dan duka.

6. Kesihatan
Kita memerlukan duit untuk membiayai rawatan dan membeli ubat, tapi duit tidak boleh menggantikan kesihatan yang hilang. Itu sebabnya pepatah lebih baik mencegah daripada mengubati .

7. Kejayaan
Beberapa orang memang ada yang mencapai kejayaan dengan menyogok, tapi ini adalah pengecualian. Kejayaan hanya berasal dari kerja keras, kemahuan, dan rezeki yang tertulis. Ada aspek kecil dari usaha menuju sukses yang boleh didapatkan dengan duit, misalnya mengikuti kursus atau membeli peralatan, tapi kejayaan lebih banyak berasal dari usaha yang anda lakukan sendiri.

8. Bakat
Kita dilahirkan dengan bakat tertentu. Dengan duit, yang boleh kita lakukan adalah mengasah bakat tersebut, misalnya belajar muzik. Namun para pakar mengatakan, untuk menjadi pakar di bidangnya, kita memerlukan bakat semulajadi.

9. Sikap yang baik
Banyak orang yang kaya raya tapi sikapnya kasar,sombong dan cakap besar. Tak sedikit juga orang yang sederhana yang tutur katanya sopan dan menunjukkan rasa hormat pada orang lain. Jadi, jumlah duit yang dimiliki bukan penentu sikap seseorang.

10. Kedamaian
Bila wang boleh membeli kedamaian, barangkali kita tak lagi mendengar tentang perang. Tetapi yang sering terjadi sebaliknya, duitlah yang menjadi sumber pertikaian dan permusuhan.